Gula Kehidupan

ANDA suka makanan manis? Jadi, jangan terkejut jika ada yang mengatakan bahawa anda kelihatan lebih tua daripada usia sebenar! Ini bukan kritikan tidak berasas.
Pakar dermatologi terkemuka dunia, Dr. Nicholas Perricone telah berkali-kali menekankan bahawa gula adalah perosak keremajaan kulit. 
Lebih tepat, gula mampu memecutkan kadar penuaan manusia tanpa disedari. Dalam satu temu ramah bersama ensiklopedia dalam talian Discovery Health, beliau menjelaskan bahawa pengambilan gula atau makanan tinggi gula boleh membinasakan tahap keanjalan dan fleksibiliti kulit. 
Sewaktu proses pertukaran karbohidrat kompleks kepada gula berlaku di dalam tubuh, paras gula dalam darah meningkat. Pada ketika ini, proses glycation bermula. Dalam proses tersebut, molekul-molekul gula akan melekat pada kolagen dan menyebabkan kulit menjadi kurang fleksibel dan liat. 
Selain kolagen, molekul gula juga melekat pada tulang, arteri, ligamen dan urat-urat termasuk otak, sekali gus menyumbang kepada kemerosotan sistem organ yang lain. Jadi, semakin banyak gula yang diambil, semakin kerap proses glycation berlaku di dalam tubuh. Keadaan itu akhirnya mengakibatkan kulit sukar kembali ke keadaan asal selepas diregang.
“Hasilnya, kulit menjadi kurang anjal, tidak bermaya dan kedutan mula muncul. Sebab itulah anda nampak lebih tua,” terangnya yang juga penulis buku terlaris berjudul The Wrinkle Cure.
Fakta itu turut disokong oleh seorang penyelidik, Dr. Joseph Mercola menerusi satu kajian Universiti Buffalo bahawa gula turut meningkatkan elemen-elemen pengoksidaan yang mempercepatkan proses penuaan.
Bagi kedua-dua Perricone dan Mercola, satu-satunya cara terbaik untuk melawan kesemua kesan penyeksaan gula ke atas kulit adalah dengan menghentikan pengambilan sebarang bentuk gula. 
Jelas sekali, saranan itu suatu niat yang baik. Malangnya, setelah sekian lama manusia menganggap gula sebagai antara keperluan asas hidup, mampukah saranan itu kita laksanakan?

Tidak sedar

Lihat sahaja penggunaan gula di kalangan rakyat Malaysia. Sejak menjadi topik penyelidikan berterusan oleh Persatuan Penggunaan Pulau Pinang (CAP) empat dekad lalu, masyarakat kita nampaknya semakin tidak peduli terhadap kesihatan diri mereka! 
Jika sekitar tahun 1970-an, rakyat Malaysia dilaporkan mengambil 17 sudu teh gula sehari, sukatan itu terus meningkat. Daripada 21 sudu teh sehari sedekad kemudian, penggunaan gula di kalangan rakyat di negara ini mencapai paras 24 sudu teh sehari. Hari ini, angka tersebut sudah mencecah sejumlah 26 sudu teh sehari!
Malah, Kajian Pengambilan Makanan di Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mendedahkan data yang membimbangkan. 
Rata-rata orang dewasa di Malaysia telah menambahkan tujuh sudu teh gula (51 gm) iaitu 21 gm gula pasir dan 30 gm susu pekat manis ke dalam minuman mereka. 
Ini nyata bukan satu peningkatan yang membanggakan. Sebabnya, saranan penggunaan gula maksimum harian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selama ini hanyalah 50 gram (gm). 
Sedangkan penggunaan gula secara individu di Malaysia sejak empat dekad lalu telah menjangkaui saranan WHO. Itu satu perkembangan yang melayakkan Malaysia menjadi pengguna gula kelapan tertinggi di dunia! 
Menurut Pakar Kesihatan Umum, Unit Diabetes dan Penyakit Kardiovaskular, Jabatan Kawalan Penyakit, KKM, Dr. Feisul Idzwan Mustapha, tabiat pengambilan gula secara berlebihan di kalangan rakyat Malaysia berlaku atas dua sebab jelas.
“Pertama, ia berhubung kait dengan masakan dan minuman orang Malaysia sedia ada. Kedua, kebanyakan orang didedahkan kepada gula yang berlebihan sejak kecil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Namun, tabiat pengambilan gula yang terbentuk sejak kecil itu sememangnya sukar untuk diubah dalam sekelip mata melainkan pengguna memahami selok-belok tentang gula terlebih dahulu.
Di Malaysia, gula yang menjadi bahan asas pemanis makanan biasanya dihasilkan daripada sumber tanaman seperti tebu dan bit. 
Seperti nasi putih dan roti biasa yang dimakan setiap hari, gula juga dikategorikan sebagai karbohidrat ringkas. Ini bermakna gula membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh.
Walaupun begitu, gula sebenarnya bukan satu keperluan penting dalam kehidupan manusia. Lebih-lebih lagi jika amalan pemakanan harian kita adalah seimbang.
“Secara amnya, makanan yang kita ambil setiap hari sudah mengandungi gula. Misalnya yang terkandung dalam mi, roti canai, nasi, ubi, pasta, buah-buahan dan juga susu. Jadi, gula tambahan memang bukan lagi satu keperluan,” jelas pakar diet dari Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Nor Lizawati Che ‘Lah.
Lagipun, sukatan pengambilan gula dan amaun gula tersorok yang diperlukan oleh setiap individu adalah berbeza mengikut faktor usia. Kanak-kanak yang berusia dari satu tahun hingga sembilan tahun biasanya hanya memerlukan enam hingga lapan sudu teh gula sehari.

Gula dan kalori

Keperluan gula harian oleh golongan remaja dan orang dewasa adalah sembilan hingga 10 sudu teh sahaja manakala warga emas pula tidak dibenarkan mengambil lebih daripada lapan sudu teh gula sehari. Itu juga bergantung kepada tahap kesihatan masing-masing.
“Setiap sudu teh gula mengandungi 20 kalori. Ini bererti jika anda mengambil tujuh sudu teh sehari, maka, jumlah kalori yang diambil ialah 140 kalori. Untuk membakar 140 kalori ini, anda perlu berjoging selama 20 minit atau berbasikal selama 20 minit,” terangnya.
Tambahnya, gula boleh terbahagi kepada beberapa jenis iaitu gula halus, glukosa, fruktosa, laktosa dan maltosa. Gula halus atau gula putih biasanya telah melalui proses penapisan yang melibatkan sehingga lapan peringkat agar sesuai dan mudah dimakan mahupun digunakan dalam industri makanan.

Hakikatnya, umum perlu tahu bahawa selain menjadi sumber tenaga, gula hanyalah pembekal kalori-kalori kosong. Malah, lebih lima dekad lalu, seorang penyelidik, Dr. William Coda Martin dengan lantangnya melabelkan gula halus sebagai racun. Definisi racun itu disifatkan berpatutan kerana penggunaan gula setiap hari hanya akan membinasakan tubuh dalam jangka masa panjang.
“Misalnya, keadaan pH tubuh akan menjadi terlalu berasid secara berterusan. Maka, tubuh terpaksa bekerja lebih keras sebab lebihan mineral diperlukan untuk memperbetulkan ketidakseimbangan itu,” demikian penjelasan pengarang buku Sugar Blues itu.
Jika tidak dikawal, pengambilan gula secara berlebihan di kalangan rakyat Malaysia dikhuatiri akan mengundang kira-kira 60 jenis penyakit berbahaya dan antaranya termasuk obesiti, komplikasi buah pinggang, tekanan darah tinggi, sakit jantung dan diabetes. 
Lebih membimbangkan, kajian KKM tidak berapa lama lalu menganggarkan bilangan penghidap diabetes di negara ini bakal mencecah 2.5 juta orang menjelang tahun 2030 nanti. 
Gula juga dipersalahkan sebagai dalang pembentukan karies gigi di kalangan kanak-kanak di negara ini. Data KKM pada tahun 2005 menunjukkan kadar karies gigi di kalangan kanak-kanak berusia lima tahun adalah 76.5 peratus manakala kanak-kanak berusia enam tahun pula mencatatkan 80.9 peratus karies gigi (1997). 
“Peningkatan kadar kelaziman obesiti di negara ini sahaja telah melebihi tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun sahaja! 
Bayangkan, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga (NHMS 2006) mendapati 29.1 peratus orang dewasa di Malaysia memiliki lebihan berat badan manakala 14 peratus pula obes.
“Sedangkan NHMS kedua pada tahun 1996 hanya menunjukkan peratusan 16 peratus untuk lebihan berat badan dan 4 peratus bagi masalah obes,” kata Feisul.
Kempen sihat

Bimbang tentang keadaan kesihatan dan tabiat pengambilan gula yang tidak sihat di kalangan rakyat Malaysia, kerajaan dan KKM terus berusaha mendidik masyarakat agar tidak terlalu bergantung kepada gula. Inisiatif seperti Kempen Cara Hidup Sihat yang diperkenalkan pada tahun 1991 terus diperkukuhkan sehingga kini menerusi Promosi Makan Secara Sihat.
 Kempen Kurangkan Gula yang dijalankan sejak tahun 1998 pula antaranya memperkenalkan pelabelan makanan rendah gula dan bebas gula di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985.
“Label rendah gula sebenarnya bermaksud masih ada tambahan gula iaitu tidak melebihi 5 gram per 100 gram atau 2.5 gram per 100 ml sesuatu produk. Label no added sugar yang biasa kita lihat pada jus-jus kotak pula bermakna gula yang ada berasal daripada buah-buahan. Jangan terkejut kerana kandungan gula ini juga tinggi,” jelas Nor Lizawati.
Produk makanan yang dilabelkan bebas gula pula merujuk kepada kandungan gula yang tidak melebihi 0.5 gram per 100 gram atau 100 ml.
Kesemua usaha kerajaan dan KKM walau bagaimanapun tidak akan berhasil sekiranya seseorang individu tidak mengambil inisiatif untuk mencegah ketagihan terhadap gula. Ibu bapa misalnya harus memainkan peranan dengan tidak memberi gula sebagai ganjaran kepada anak.
Malah, dengan mengambil air kosong dan bukannya teh tarik ketika makan, anda sebenarnya telah membantu pankreas agar tidak bekerja terlalu keras.
“Jadi, jangan salahkan kerajaan kerana menaikkan harga gula. Sebenarnya dalam jangka masa pendek, anda perlu membelanjakan wang yang banyak tapi untuk jangka masa panjang, anda telah menjimatkan perbelanjaan kos perubatan yang tinggi,” tambah Nor Lizawati.
– Sumber : Kosmo

Sila Komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s